Offer @ Lazada

>

nuff

Kupetik Dosa Trauma Pilih Taska

Cikgu Iza | October 03, 2012 | 14 Komen |
Entri ni sepatutnya publish semalam tapi sebab kejadian Halo aka pelangi aneh ni, mama publish la entri ni hari ini. Entri ni penting sangat sebab memberi kesan mendalam kepada mama. Syabas kepada TV 3 dan pengarah drama ni serta para pelakonnya.

Walaupun drama ni dah ditayangkan di tv3 pada 2011 tapi terima kasih pada Anugerah Skrin 2012 kerana menayangkan drama ni semula.  Dulu mama tak berkesempatan nak menonton drama ni, jadi dengan penuh khusyuk dan ketawadhuk.. an, teringat cara Tok Najib sebut,.. mama pun menonton drama ni. Malam tadi, Yaya pun tido pukul 11 malam sebab mama sibuk tengok Kupetik Dosa. 

Aina oh Aina, kalaulah kau tahu....

Pagi tadi, di sekolah pun kawan2 mama sibuk bercerita tentang Kupetik Dosa.  Tak sangka masing2 baru menonton drama ni macam mama. Sebenarnya banyak mesej yang boleh kita ambil, terutama kepada ibu bapa daripada drama ni. Antaranya, kita jangan sibuk dengan kerja sampai mengabaikan anak2. Macam pasangan Aina dan Haris ni. Malah, selepas mendapati dirinya hamil, Aina tambah kuat bekerja, takut-takut 'tak cukup' untuk anak kedua sedangkan kehidupan mereka baru stabil. Hai.. kan anak tu rezeki Allah. Mama ada tiga ni pun, bukan setakat tak cukup, malah setiap anak ada je rezeki masing-masing. Lepas tu, sebagai ibu, kita kena peka terhadap setiap perubahan fizikal dan emosi anak. Macam Aina sepatutnya sedar perubahan pada Nia Qaseh. Tapi.. entahlah, mungkin ibu muda koot..
Bagi pasangan Khalid dan Sal, dan pasangan lain yang sanggup untuk menjadi pengasuh, mama harapkan perlulah berhati perut. Sal sepatutnya tidak menyerahkan bulat2 urusan menjaga Nia pada suami, sedangkan dia tahu Nia tu dah semakin 'besar'.  Malah, apabila dia dapat 'menghidu' perbuatan 'binatang' suaminya, sepatutnya dia lekas2 bertindak.  Sayangkan suami punberpada-pada lah, jangan sampai suami pijak kita.. kan..
Pengajarannya buat mama, berhati-hati memilih Taska untuk anak-anak. Pastikan Taska tu berdaftar dan pengasuhnya bertanggungjawab. Teringat kisah lucu 3 tahun lepas, masa tu kakak Iman masih pakai pampers. Pampers Drypers kan berwarna-warni, dan salah satu corak pada pampers tu berbentuk bulat berwarna merah yang betul2 terletak di bahagian bawah kakak. Time tu kakak terkangkang.. Haaaaaaaa.... mama mula panik! Anak mama ada 'darah' kat bawah tu??? Mama teringat yang taska kakak pintu pagarnya sering terbuka, pengasuhnya pulak masih muda2, manalah tahu, tanpa disedari ada seseorang telah masuk dan..... Mama tergelak sendiri apabila buka pampers, yang warna merah tu adalah corak je!! Mama sayang anak mama... Tak salahkan mama terlalu peka daripada mama buat2 pekak?... 


Pada yang terlepas nak menonton drama ni, jom layan sinopsisnya..
Nia Qaseh, anak perempuan kesayangan pasangan Aina dan Haris. Segala kemewahan dan kesenangan di curahkan kepadanya. Sanggup melakukan apa saja asalkan anak kesayangan mereka ini berasa selesa. Namun keadaan kewangan yang meruncing memaksa Aina kembali bekerja untuk membantu Haris mendapatkan sumber kewangan. Nia di tinggalkan dibawah jagaan jiran mereka, Khalid dan Sal. 

Pada mulanya, Khalid dan Sal melayan Nia bagai anak sendiri. Segala kasih sayang dicurahkan kepada Nia. Nia bagaikan penyeri dalam keluarga mereka. Namun, keadaan berubah apabila Khalid diberhentikan kerja. Sal menyuruh Khalid mencari pekerjaan yang lain, tetapi Khalid tidak mahu. Dia hanya mengharapkan wang yang diberi Aina untuk menjaga Nia sahaja. Melihat akan keadaan Khalid yang tidak mahu mendengar kata-katanya, Sal mengambil keputusan untuk meniaga goreng pisang dan kuih-muih ditepi jalan. Nia ditinggalkan dalam jagaan Khalid.

Semakin lama menjaga Nia, Khalid merasakan seuatu perasaan yang lain apabila menyentuh Nia. Gelora nafsunya tak dapat dikawal. Dia mengambil peluang untuk menodai Nia bila Sal keluar meniaga. Perbuatan Khalid itu diketahui oleh Sal. Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana diugut oleh Khalid. Sal mendera Nia untuk melepaskan amarahnya pada Khalid.

Nia berubah menjadi seorang yang pendiam dan mudah terasa. Kebetulan, Aina disahkan mengandung lagi. Dia menyangkakan yang perubahan Nia itu disebabkan perasaan Nia yang kurang senang bila mengetahui akan mendapat adik tidak lama lagi. Kesibukan Aina dan Haris menjadikan mereka kurang peka akan perubahan-perubahan Nia.

Sehinggalah suatu malam, Nia muntah darah dan kemaluannya berdarah. Aina segera membawa Nia ke hospital. Setelah menjalani pemeriksaan, didapati Nia telah didera dan diperkosa. Keadaan Nia sangat parah. Aina bagaikan tidak percaya akan kejadian yang menimpa anaknya. Dia menghubungi Haris dan Sal untuk memberitahu kejadian yang menimpa anaknya itu. Namun tiada seorang pun yang menjawab panggilannya.

Khalid mengugut Sal supaya tidak memberitahu segala perbuatannya kepada Aina dan Haris. Dia menyuruh Sal bersikap seperti tiada apa-apa yang berlaku dan mengajak Sal melawat Nia di hospital. Apabila Sal melihat keadaan Nia yang lemah dan tidak berdaya itu perasaan keibuannya tersentak. Dia begitu menyesali perbuatannya. Dia mengambil keputusan untuk memberitahu pihak polis dan Aina tentang apa yang dilakukan oleh Khalid dan dirinya. Dia mengaku mendera Nia dan Khalid telah memperkosa Nia. Aina bagai tidak percaya bila mendengar pengakuan Sal itu. Dia memukul-mukul Khalid. Sedang keadaan kecoh-kecoh, Nia menghembuskan nafas terakhirnya. 

Khalid dan Sal ditangkap oleh pihak polis. Aina dan Haris menjual rumah mereka kerana tidak sanggup lagi tinggal di situ. Kenangan bersama Nia meruntun jiwa mereka. Mereka menyesal kerana terlalu mempercayai jiran mereka dan mengabaikan tanggungjawab mereka kerana masing-masing sibuk bekerja. Tamat ...

Para pelakon :
Fasha Sandha sebagai Aina
Fikree Bakar sebagai Haris
Fadilah Mansor sebagai Sal
Zaidi Omar sebagai Khalid
Farah Nadia sebagai Nia Qaseh

Terbitan : JS Production

(kredit kepada Aznanie)

nuff

SantaiEmas

CK Free Auto Backlink My Ping in TotalPing.com

Babab Ping

My Love and Cute Kids © . Designed by MaisarahSidi.com